Permainan Tradisional
Tuesday, 17 March 2015
Friday, 13 March 2015
Sepak raga
Sepak raga merupakan sejenis permainan yang menggunakan bola rotan. Ia telah wujud sejak 600 tahun dahulu pada Zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15 M. Ia bertujuan untuk menguji kecekapan permain untuk menyepak, menanduk, mendada atau melutut bola raga dan menghalangnya daripada jatuh ke tanah.
Pada masa ini sepak raga dimainkan apabila ketiadaan jaring. Sepak raga dimainkan dalam bulatan, manakala sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, menggunakan gelanggang seperti dalam permainan badminton. Sepak raga juga telah digantikan dengan bola lain sekiranya ketiadaan bola takraw, dikenali sebagai menimang bola dalam bulatan.
Sejarah
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Pada alaf ini, permainan sepak takraw adalah amat popular dan di kenali ramai, bukan sahaja di negara kita bahkan di negara-negara lain. Sepak takraw yang asalnya dikenali sebagai sepak raga lengkung atau kandang adalah permainan tradisi pusaka yang dimainkan oleh raja-raja melayu sejak sebelum tahun 1478 lagi. Asal-usul yang sebenarnya permainan ini tidak dapat diberikan kerana telah banyak sejarah termusnah akibat perang dunia kedua. Dengan berlalunya masa dan semakin meluas minat terhadap permainan ini diseluruh Malaya, maka pada akhir tahun 1945 satu peraturan baru lagi moden dengan menggunakan jaring telah diwujudkan oleh pemain-pemain di Pulau Pinang. Dengan terciptanya cara ini, maka tidak dinafikan lagi bahawa Pulau Pinanglah tempat asal bermulanya sepak raga menggunakan jaring yang kini dikenali sebagai sepak takraw.
Bagi mempamerkan buat pertama kalinya cara permainan yang baru ini, di atas usaha diantaranya En. Mohamed bin Abdul Rahman, En. Abdul Hamid Mydin dan En. Yacob Syed. Maka pada awal tahun 1946 satu permainan pertunjukkan diantara pasukan Jalan Hatin dan pasukan Patanai Road telah diadakan di Gelanggang Hospital Haiwan, Pulau Pinang dengan sambutan yang begitu meriah walaupun di anggap ganjil. Dari Pulau Pinang dan dalam tahun 1946 juga sepak raga jaring ini telah merebak ke Alor Star, ke Kampung Baru di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Singapura.
Sejak perkembangan tersebut pasukan demi pasukan telah ditubuhkan dan pada 25 Jun 1960 Persekutuan Sepak Raga Malaya telah dirasmikan di suatu persidangan yang dipelopori oleh Persatuan Sepak Raga Pulau Pinang. Persekutuan yang julung-julung kali di tubuhkan ini telah melantik Y. Bhg Tan Sri Khir Johari sebagai Yang Dipertua. Tindakan segera telah diambil oleh persekutuan tersebut ialah menggubal dan menyusun undang-undang sepak raga jaring yang ada pada masa itu oleh sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada wakil-wakil Setiausaha Agong PSM sekarang.
Tarik upih
Tarik upih merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak di beberapa negara ASEAN. Upih pinang adalah pelepah/"pangkal" daun pokok Pinang. Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah. Ketika pelepah ini jatuh ia masih berguna. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut. Selain pelapah pinang, pelepah kelapa juga digunakan.
Cara Permainan
Permainan ini dimain secara berkumpulan.
Upih ini mesti dimain dengan dua orangatau lebih. Seorang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk di atas upih.Upih ni boleh dinaiki oleh seorang, dua orang, tiga orang atau berapa saja asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih yang luruh itu. Biasanya muat setakat seorang dua sahaja. Biasanya yang lebih tua/besar akan menjadi penarik, sementara yang kecil menjadi penunggangnya. Setiap ahli diwajibkan menarik setiap ahli kumpulan dimana peserta pertama akan menarik peserta kedua dari titik permulaan sehingga ke garisan penamat dan mereka akan bertukar peranan. Peserta kedua akan menarik pesertapertama ke garisan permulaan semula dan ini dianggap sebagai satu pusingan. Maka seterusnya ahli kumpulan yang lain akan meneruskan permainan sehingga semua ahli telah melakukan aktiviti.
Peraturan Permainan
- Seorang peserta akan menjadi penarik, sementara seorang lagi sebagai penunggang- duduk atas upih.
- Peserta yang sampai di garisan penamat dikira sebagai pemenang.
- Peserta perlu mengulang semula permainan sekiranya penunggangnya jatuh dariupih sebelum sampai ke garisan penamat.
- Penunggang tidak dibenarkan untuk membantu penarik semasa pertandingan
- Peserta yang mengganggu dan memasuki kawasan pihak lawan akan dikeluarkan dari pertandingan.
- Peserta tidak dibenarkan menukar pasangan sebelum sampai ke garisan.
- Peserta pertama perlu menunggu wisel ditiup sebelum memulakan permainan.
- Penunggang dilarang sama sekali berdiri ketika permainan sedang berjalan.
Teng teng
Teng-teng atau juga dikenali sebagai Ketinting merupakan sejenis permainan tradisi kanak-kanak. Ia dimainkan oleh lelaki dan perempuan, sungguhpun ia lebih disukai oleh kanak-kanak perempuan daripada daripada kanak-kanak lelaki ini kerana permainan ini lembut dan sesuai untuk kaum Hawa.
Di kampung-kampung, gelanggang dibuat dengan dengan menuliskan garisan di atas tanah sahaja dengan menggunakan hujung ranting.
Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan di mana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.
Pemain hendaklah melompat kedalam semua petak dengan menggunakan sebelah kaki, kecuali di petak dua dan kesembilan dengan dua belah kaki. Setiap pemain tidak boleh memijak petak yang mempunyai gundu yang telah dicampak.
Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.
JALA ITIK
Cara –cara permainan
1) Mainkan sebuah lagu yang menarik untuk mengiringi setiap langkah permainan.
2)Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja.
3)Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah."
3)Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.
4)Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan.
5)Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain.
6)Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.
7)ketua yang mempunyai ahli yang paling ramai dikira pemenang
Bedil Buluh
Masa dulu tak ada video game , Play Station dan lain-lain lagi permainan macam sekarang ni. Budak sekarang banyak alat permainan yang boleh dibeli di kedai. Selain video game, kereta mainan, senapang mainan, robot mainan dan macam-macam lagi yang boleh didapati berlambak-lambak terutama di pekan hari. Dulu, budak-budak kena kreatif cipta sendiri permainan dari bahan-bahan terbuang dan yang terdapat disekeliling kita.
Salah satu mainan tradisional yang kami selalu main masa kecil ialah ‘caplong’ (ada juga yang panggil bedil buluh) berpelurukan buah cenerai atau kertas surat khabar(yang direndam dalam air). Sebelum bermain kami kena cari bahan-bahan nak caplong . Aku masih ingat kami akan masuk ke belukar terutama dekat sungai berhampiran rumah Pak Teh Cha yang banyak pokok buluh padi yang cantik dan sesuai untuk kami buat caplong. Buluh lemang atau buluh betong tak boleh nak buat caplong pasai lubang dia besar. Nak buat lemang atau tapak bakar pelita masa hari raya, bolehlah guna buluh lemang.
Bila dah dapat buluh, kami akan memotongnya dengan mengambil ruas yang panjang dan lurus.
Manakala penjolok atau pengantak pula adalah buluh betong yang diraut sampai kecil dan pasangkan kepada pemegang atau kepala. Tak semua orang yang pandai buat caplong, kena ada kemahiran juga. Selalunya yang kami suruh buat ialah Yusup Pak Lang Hab atau abang dia Ya Pak Lang Hab.
Kemudian kami mencari peluru dari buah cenerai atau kertas surat khabar yang ditumbuk dengan air. Untuk memasukkan peluru buah cenerai, kena ketuk buah cenerai tu dengan pemegang caplong. Buah mesti lebih besar dari lubang pada buluh tu. Buah cenerai ni pun boleh di makan. Rasanya kelat-kelat masam.
Bila peluru dah masuk, tekan penjolok dengan cepat. Maka peluru pun keluar diikuti dengan bunyi “plong!”. Sebab tu kot orang bagi nama dia caplong.
Bila caplong dan peluru dah ada kami membuat undian siapa yang jadi musuh atau askar. Selepas itu bermulalah peperangan di antara kami dalam kebun getah belakang rumah Pakcik Awang. Permainan ini memang menyeronokan hingga tak sedar ke makan atau minum. Bila dah letih baru cari air nyor muda atau minum air telaga Pak Cik Awang di tepi bendang.
Kena peluru buah cenerai ni,jangan main kadang-kadang berbintik-bintik badan tapi peluru kertas tak apa, bunyi aje kuat tapi tak sakit. Peraturan masa main ni tak boleh pakai baju. Baru senang nampak kesan bila kena tembak dan di kira mati.
WAU
Permainan layang-layang, juga dikenali dengan nama wau merupakan satu aktiviti menerbangkan layang-layang tersebut di udara. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan,Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.
Sejarah wau
Di Malaysia
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan. tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebarKemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China memandangkan hubungan Malaysia-China telah berlangsung sejak zaman Greek lagi.
Kemungkinan juga perkataan wau datangnya daripada perkataan Cina Hokkien (Fujian). Kata untuk wau dalam dialek Hokkien ialah 'ao' di utara Malaysia.
Pada masa dahulu, orang-orang Melayu di Singapura turut menggunakan layang-layang bagi menangkap ikan.
Mitos permainan wau
Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya adalah permainan tanpa nama. Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat dari daun tertentu yang diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun nenas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu, permainan tanpa nama itu putus talinya, dan anak itu pun menangis “wa,wa,wa,wa…”, maka, menurut yang empunya cerita, lahirlah perkataan "Wau".
Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut. Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka” Wau untuk Dewa Muda.
Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Bila Wau ini dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Dari bunyi busur itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil "layang-layang".
Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud dari semangat padi. Pada satu hari, seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi, yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angina barat.
Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi adalah semangat padi. Untuk memohon maaf, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini dan dinaikkan setelah menuai.
Mengikut asal usul yang lain, Wau Bulan lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Setelah kemangkatan pembina Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar yang meliputi seluruh Asia Tenggara ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.
Di awal abad ke-8 muncul seorang tokoh, iaitu cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha. Beliau mempunyai berbagai gelaran, antaranya Sabjaya atau Sanjaya Putera, Inu Dewa, Seri Panji, Mahisa Kelana Seri Panji, Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya dan Hyang Kamajaya, tetapi dia lebih terkenal dalam cerita-cerita tradisi sebagai Dewa Muda. Dewa Muda telah mengadakan beberapa serangan untuk menyatukan kembali Empayar Srivijaya.
Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau ‘lembaga’ wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya atau Asia Tenggara itu.Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai ‘Sejagat Tanah Jawa’.
Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut ‘Nabi Mahlail Alaihissalam’ antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama ‘Mahalelselt’. Dalam cerita-cerita tradisi dia digelar ‘Burung Petala Indera’. Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.
Dikisahkan bahawa busur wau ini memiliki dua belas bahasa, dua belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Dua belas negeri tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja-Laos-Thailand Tengah dan Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara dua belas ragam bererti dua belas suku terdapat di dua belas daerah/negeri tersebut tadi.
Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan Nusarantang-kawasan yang bersambung. Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerimtahan’ yang dinamakan ‘Nusa Kencana-Kawasan Emas dan bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan Nusantara-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut.
Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat.
Dalam asal usul yang lain pula, wau dinyatakan berasal dari Kembayat Negara di zaman Siti Zubaidah dan wau ini bernama Wau Lenggang Kembayat. Wau inilah yang dinaikkan oleh Pembina Empayar Srivijaya iaitu Dewa Muda. Bentuknya tidaklah seperti Wau Bulan seperti yang dinyatakan dalam asal usul di atas. Wau Lenggang Kembayat ini bentukya seperti Wau Ikan yang wujudnya sekarang ini.
Banyak lagi terdapat asal usul wau, tetapi hampir semuanya menyerupai asal usul yang telah dicatat.
Jenis wau
Wau barat -- lihat Wau daun.Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.
- Wau bayan
- Wau bulan -- Wau yang bahagian ekornya menyerupai bulan sabit atau tanduk dan mengandungi bulan penuh di bahagian labu iaitu di antara bulan sabit dengan sayapnya
- Wau burung
- Wau ceduk -- Wau tanpa tulang.
- Wau daun -- Wau yang menyerupai wau bulan tetapi tidak mempunyai bulan penuh. Ekornya lebih rapat ke sayapnya yang panjang dan dapat diterbangkan oleh angin sederhana kerana ringan dan berasal dari Siam atau Patani
- Wau gubah -- Wau yang direka mengikut daya cipta pembuatnya sendiri lazimnya berunsur tumbuhan, haiwan, peralatan sosiobudaya, ciptaan sains dan teknologi dan alam khayalan.
- Wau gubah kain -- Wau gubah yang dicipta daripada pelbagai bahan kecuali kertas
- Wau gubah kertas -- Wau gubah yang dicipta daripada kertas.
- Wau helang -- Wau yang menyerupai burung khususnya di bahagian ekor dan berasal dari Perlis.
- Wau jala budi -- (Kedah) Wau yang menyerupai lembaga manusia yang bahagian ekornya berbentuk seperti punggung manusia. Wau ini dikenali dengan wau kangkang dan wau orang. Ia juga mengambil nama sempena bentuk daun budi.
- Wau kangkang -- lihat Wau jala budi.
- Wau kapal -- Wau yang bahagian ekornya berbentuk kapal laut atau kapal layar dan berasal dari Selangor.
- Wau katak -- Wau tanpa tulang.
- Wau kikik -- Nama lain bagi wau kemetek, sejenis wau ringkat berbentuk empat segi.
- Wau kucing -- Wau yang bahagian ekornya menyerupai kepala kucing jika diterbalikkan secara grafik.
- Wau legu -- Wau kucing yang berekor.
- Wau lenggang kebayak -- Wau kucing yang berekor.
- Wau merak -- Wau yang menyerupai bentuk burung merak.[16]
- Wau orang -- lihat Wau jala budi.
- Wau pari
- Wau payang -- Wau yang menyerupai bentuk perahu payang.
- Wau pepek
- Wau sewah -- Wau yang menyerupai bentuk burung sewah.]
- Wau sobek -- Wau rekaan tradisi daripada kertas dengan menggunakan kaedah meretas, menebuk, melorek atau tampal-cantum bertujuan untuk dipamerkan dan bukan untuk dinaikkan.
- Layang-layang Melayu
Cara bermain
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juruanjung yang memegang wau dan seorang jurutarik yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
Menghasilkan WAU
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Bahagian-bahagian wau
- belalai -- Rambu tambahan pada hujung kepala wau bulan berukuran lebih 15 cm.
- bilah ekor -- Bahan daripada buluh yang diraut atau dibentuk untuk dijadikan rangka ekor wau.
- bilah sayap -- Bahan daripada buluh yang diraut atau dibentuk untuk dijadikan rangka sayap wau.
- bok / batang busur -- Bahagian busur daripada buluh untuk menyemat tali busur.
- tali busur -- rotan atau sebagainya, yang dipasang pada bok yang boleh mengeluarkan bunyi apabila ditiup angin.
- bulan penuh -- Bulatan yang dipasang antara sayap dengan bulan sabit pada wau bulan. Lebarnya sama dengan lebar kepala dan dikenali juga dengan nama labu di Kelantan.
- bulan sabit -- Ekor wau bulan yang berbentuk bulan sabit lazimnya 1/3 daripada bahagian ekor yang dikenali juga dengan nama tanduk.
- cakah -- Lebar di antara sayap dengan ekor.
- dengung (Kedah) -- Bunyi yang dihasilkan apabila wau dinaikkan.
- ekor -- Bahagian bawah wau.
- hujung tali -- Bahagian tali wau yang diikat pada tali teraju.
- kertas jagung -- Kertas nipis, berwarna surih, digunakan untuk membuat wau.
- kertas perada -- Kertas berwarna dan berkilat untuk membuat wau.
- kertas wau -- Kertas nipis, berwarna, digunakan untuk membuat wau.
- lengkok bulan -- Bahagian lengkung dalam wau bulan dari sayap dan bulan sabit ke bulan penuh, dikenali juga dengan nama cakah di Kelantan.
- paha dalam -- Bahagian dalam hujung ekor wau jala budi.
- paha luar -- Bahagian luar hujung ekor wau jala budi.
- pancang meter -- Alat untuk mengukur ketinggian wau yang dinaikkan.
- pangkal tali -- Bahagian tali wau yang diikat pada pancang meter.
- penyemat -- Buluh atau bahan lain untuk melekatkan busur pada kepala wau.
- simpai penyemat -- Tali atau rotan untuk mengikat penyemat pada bok. Apabila dipasang busur, kepala wau diapit dengan bok dan penyemat.]
- rambu -- pada wau terutama di bahagian kepala dan kiri kanan sayap dan hujung ekor.
- rambu panjang - Rambu yang dipotong panjang, lazimnya diikat di bahagian bawah jerabut pendek.
- rambu pendek -- Rambu yang dipotong pendek, lazimnya diikat di atas rambu panjang.
- sayap -- Bahagian tengah wau.
- sundari / busur (Kelantan, Terengganu, Pahang) / senderen (Selangor) -- Alat yang dipasang pada kepala wau untuk mengeluarkan dengung dan mengimbangkan antara berat kepala dengan berat ekor.
- tali adang angin -- Tali yang diikat pada sayap dan ekor wau bertujuan menahan kertas daripada tiupan angin supaya tidak koyak dan untuk mengimbangi wau dalam keadaan imbangan semerti.
- tali ikat -- Bahan daripada benang, dawai, nilon, atau sebagainya digunakan untuk mengikat rangka wau.
- tali teraju -- Tali yang diikat pada sayap dan tulang belakang untuk keseimbangan keseluruhan. Tali wau diikat pada teraju apabila wau dinaikkan.
- tali teraju atas -- Tali teraju yang diikat pada bilah sayap atas, bertujuan untuk mengimbang antara kiri dan kanan.
- tali teraju bawah -- Tali yang diikat pada teraju atas dan bilah sayap bawah. Bertujuan untuk mengimbangkan keadaan angin.
- teraju keras -- Keadaan simpulan teraju bawah yang paling bawah daripada pusat sayap.
- teraju lembut -- Kedudukan simpulan tali teraju bawah yang paling atas daripada pusat sayap.
- tali wau -- Tali daripada benang, tali tangsi, nilon atau sebagainya, digunakan untuk menaikkan wau.
- teraju dua -- Keadaan tali yang diikat pada dua poin pada wau.
- teraju tiga -- Keadaan tali yang diikat pada tiga poin pada wau.
- tiang pelilit tali -- Tiang untuk melilit tali wau ketika wau dinaikkan.
- tulang belakang -- Bahan seperti buluh, nibung, bertam, batang pinang atau bahan gentian yang dibentuk untuk batang tengah wau.[80]
Perincian wau
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
Teknik pembuatan wau tradisional
Antara bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.
Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.
Petua dan pantang larang pemilihan buluh
- Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
- Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
- Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
- Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
- Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.
- Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
- Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
- Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
- Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini”.
Penyimpanan buluh
Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.
Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-
- Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
- Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
- Menyalai kepingan buluh pada bara api.
Meraut buluh
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
- Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
- Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
- Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
- Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.
Membuat bingkai
Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.
Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:
- Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
- Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
- Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
- Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
- Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
- Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
- Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah:
- Ukur kertas dengan saiz bingkai.
- Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
- Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
- Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
Mengukur, melukis dan menyobek corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat:
- Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
- Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
- Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
- Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
- Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
- Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.
Memasang jambul atau rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Jambu biasanya diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.
Memasang belalai
Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.
Memasang busur
Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
- Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
- Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki.
- Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
- Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon.
Subscribe to:
Posts (Atom)